Ku Faiz tampil dengan single debut “Jurang Takdirku”, menandakan langkah sulungnya sebagai penyanyi rakaman dalam industri muzik tempatan. Lagu berkonsepkan balada moden ini mengisahkan cinta yang terpaksa dipendam apabila jurang kehidupan memisahkan dua insan.
Ku Muhammad Faiz bin Ku Zulrushdi, 25, yang berasal dari Alor Setar, Kedah, sebelum ini pernah menyertai program Ceria Popstar dan All Together Now, selain muncul sebagai tetamu dalam Motif Viral. Beliau turut mendapat perhatian di TikTok menerusi nyanyian lagu Roman Cinta yang meraih ribuan tontonan.
“Jurang Takdirku” merupakan karya ciptaan sepenuhnya komposer dan penulis lirik Dearlynnns. Menurutnya, lagu tersebut dicipta pada 2024 sebelum akhirnya menemui karakter vokal yang dianggap paling sesuai menerusi Ku Faiz pada tahun ini. Lagu ini diterbitkan di bawah Luncai Emas.
Ku Faiz menyifatkan peluang tersebut sebagai satu kepercayaan besar dan berharap “Jurang Takdirku” dapat diterima pendengar serta menjadi permulaan baik dalam perjalanan seninya.
Lagu “Jurang Takdirku” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama, manakala video muzik rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas Sdn Bhd dan Myoozikwav Entertainment.