Selepas sedekad mencipta fenomena dalam industri animasi tempatan, Ejen Ali kini melangkah ke pentas persembahan secara langsung menerusi Ejen Ali In Concert, sebuah konsert orkestra berskala besar yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini hingga esok, 29 November, di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Dianjurkan bersempena sambutan ulang tahun ke-10 francais animasi terbitan Wau Animation dan Primeworks Studios itu, konsert berkenaan menghimpunkan muzik, animasi dan persembahan pentas dalam sebuah pengalaman istimewa buat peminat yang mengikuti perjalanan Ejen Ali sejak kemunculannya pada 2016.
Sebanyak 22 susunan muzik eksklusif hasil gubahan Pengarah Muzik, Azri Yunus, bakal dipersembahkan dengan iringan 41 pemuzik orkestra KL City Opera. Persembahan ini turut dikendalikan oleh konduktor Chong Koi Min, sekali gus menjanjikan pengalaman muzik yang lebih megah menerusi gabungan instrumen orkestra, elemen elektronik moden dan visual animasi.
Lebih menarik, pentas konsert ini bakal dimeriahkan dengan gabungan vokal barisan artis popular tanah air termasuk Hael Husaini, Bunga, Santesh, Malik, FUGO dan Mariam.
Turut mencuri perhatian ialah penampilan istimewa Ida Rahayu, pelakon suara rasmi watak Ejen Ali, yang bakal membuat kemunculan sulung sebagai penyanyi di pentas konsert rasmi francais berkenaan.
Bagi Azri Yunus, konsert ini bukan sekadar membawa lagu-lagu yang pernah didengari menerusi siri animasi dan filem Ejen Ali ke pentas lebih besar, sebaliknya memberikan nafas baharu kepada karya muzik tersebut agar dapat dinikmati dalam bentuk persembahan langsung.
Menurutnya, cabaran utama adalah memastikan emosi dan adrenalin yang terkandung dalam muzik asal terus dikekalkan meskipun susunannya diolah semula untuk persembahan orkestra.
Antara kelainan yang disediakan termasuk gabungan elemen tradisional Nusantara dengan bunyi moden, selain beberapa medley khas serta gubahan semula lagu ikonik yang hanya dipersembahkan sepanjang konsert ini.
Jika sebelum ini muzik berperanan mengiringi visual dan jalan cerita animasi, menerusi persembahan kali ini muzik pula menjadi tumpuan utama untuk membawa penonton menyelami emosi setiap babak dan perjalanan watak-watak Ejen Ali.
Sementara itu, penampilan Ida Rahayu dijangka menjadi antara detik paling istimewa, khususnya buat peminat yang selama ini mengenali beliau menerusi suara dan dialog bertenaga watak Ejen Ali.
Menariknya, Ida turut mendedahkan bahawa beliau sebenarnya menyanyikan lagu Mama, yang mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana merupakan lagu kegemaran arwah ibunya yang meninggal dunia pada 2020.
Justeru, peluang menyampaikan lagu berkenaan secara langsung di pentas konsert ini bukan sekadar cabaran baharu dalam kerjayanya, malah menjadi penghormatan dan hadiah istimewa buat insan tersayang.
Bagi memastikan persembahan berjalan lancar, Ida turut menjalani persiapan vokal dan latihan stamina, memandangkan nyanyian secara langsung dengan iringan orkestra memerlukan kawalan pernafasan serta penghayatan emosi yang berbeza daripada rutin rakaman suara di studio.
Selain konsert utama pada sebelah malam, penganjur turut menyediakan sesi Family Fun Day pada jam 11 pagi bagi memberikan peluang kepada keluarga dan kanak-kanak menikmati pengalaman bersama dunia Ejen Ali menerusi persembahan lagu popular serta aktiviti interaktif bersama Ejen Ali dan rakan-rakan.
Kedua-dua sesi ini berlangsung pada 28 dan 29 November, dengan Family Fun Day menawarkan tiket individu pada harga RM69 atau pakej keluarga RM200 yang merangkumi empat tiket untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
Sementara itu, tiket konsert utama pada jam 8 malam ditawarkan mengikut kategori tempat duduk bermula RM119 bagi CAT D, RM149 (CAT C), RM179 hingga RM238 (CAT B), RM269 (CAT A), RM299 (Premium) dan RM369 (VIP).
Lebih daripada sebuah persembahan muzik, Ejen Ali In Concert menjadi simbol perjalanan 10 tahun sebuah francais animasi tempatan yang berjaya mencipta tempat tersendiri dalam hati penonton pelbagai generasi.
Gabungan muzik orkestra, persembahan artis popular dan elemen visual animasi ini turut memperlihatkan potensi karya animasi tempatan untuk dikembangkan ke pelbagai cabang hiburan, sekali gus membuka ruang kepada pengalaman baharu dalam meraikan kejayaan sesebuah harta intelek tempatan.
Selepas 10 tahun menemani penonton menerusi siri televisyen dan filem, Ejen Ali kini membawa peminat menyaksikan sendiri kehebatan muzik yang menjadi sebahagian daripada identiti francais tersebut secara langsung di pentas.
Ejen Ali In Concert berlangsung pada 28 dan 29 November 2026 di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Tiket boleh didapati menerusi platform rasmi WOWTIX di www.wowtix.com.my.