Malaysia terpilih secara eksklusif sebagai lokasi julung kali bagi kemunculan sulung konsert antarabangsa Rolling Stone Music Live: With KPop Demon Hunters (Sub: Dreaming Day). Konsert berskala besar anjuran bersama Galaxy World Entertainment (GWE) dan GS World Entertainment ini bakal menggegarkan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Sabtu, 7 November 2026, bermula jam 8.00 malam. Persembahan ini bakal memuatkan barisan artis dan suara di sebalik fenomena global tersebut termasuk EJAE, Andrew Choi, Kevin Woo (penyanyi lagu popular Saja Boys seperti Soda Pop dan Your Idol), serta Arden Cho yang menyuarakan watak Rumi.
Bagi memberi keutamaan kepada peminat tempatan, jualan tiket secara fizikal (offline) akan dibuka terlebih dahulu pada Sabtu, 29 August 2026, bermula jam 12.00 tengah hari di Aras 3, Pavilion Damansara Heights. Penganjur memaklumkan bahawa tiada jualan dalam talian diadakan pada hari pertama tersebut untuk memberikan kelebihan eksklusif kepada peminat yang hadir secara fizikal. Manakala, jualan tiket menerusi platform dalam talian hanya akan mula dibuka secara rasmi pada keesokan harinya, iaitu Ahad, 30 Ogos 2026.
Selain mengumumkan acara konsert utama, pihak penganjur turut menjemput pengamal media untuk hadir membuat liputan secara langsung semasa sesi jualan tiket fizikal pada 29 Ogos tersebut. Liputan merangkumi suasana kemeriahan peminat, reaksi pembeli seawal hari pertama, serta suasana sekitar tempat acara bagi perkongsian di platform media sosial dan laporan berita. Penganjuran ini dijangka bakal menarik tumpuan ribuan peminat muzik K-Pop tempatan dan antarabangsa ke ibu negara.
No comments:
Post a Comment