Camaroe Berhad, Sustainno Sdn Bhd, dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mempercepat penggunaan tenaga boleh baharu serta teknologi pengurusan tenaga pintar di kemudahan akuakultur udang milik Camaroe di seluruh Malaysia. Kerjasama strategik ini menyokong Pelan Hala Tuju Transformasi Hijau Akuakultur Mampan Camaroe menerusi penyepaduan teknologi Commercial and Industrial (C&I) Smart Photovoltaic (SPV) dan Energy Storage System (ESS) daripada Huawei. Langkah ini bertujuan meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga tidak boleh baharu, serta mengoptimumkan kos operasi penternakan.
Menerusi perkongsian ini, Sustainno bertindak sebagai rakan kongsi Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) yang bertanggungjawab mengendalikan penilaian tapak, reka bentuk sistem, perolehan, hingga perkhidmatan sokongan teknikal pasca-pemasangan. Manakala Huawei Malaysia pula menyediakan tunjang teknologi menerusi penyelesaian Huawei Digital Power, merangkumi kepakaran teknikal serta khidmat rundingan pemasaran. Kolaborasi ini turut menandakan penyertaan julung kali Huawei dalam sektor pertanian dan akuakultur di Malaysia seiring dengan aspirasi keneutralan karbon negara.
Majlis menandatangani MoU tersebut telah berlangsung di AI Lab dan Pusat Inovasi Huawei Malaysia yang terletak di The Exchange 106, TRX. Pengarah Urusan Camaroe Berhad, Teoh Han Boon, menyatakan bahawa integrasi penyelesaian digital dan tenaga hijau ini bakal mentransformasikan syarikatnya menjadi perniagaan akuakultur berteraskan teknologi yang berdaya saing di peringkat global. Sementara itu, wakil daripada Sustainno dan Huawei Malaysia turut menegaskan bahawa penyelesaian mikrogrid generasi baharu ini mampu memberikan kawalan tenaga yang lebih cekap dan menawarkan kos operasi yang lebih optimum untuk jangka panjang.
No comments:
Post a Comment